اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ

-

Khamis, 17 September 2009

14 NOValentine Day

ELAK SAMBUT VALENTINE’S DAY
Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan
masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an
beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas
dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut.
Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya
asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak
mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari
berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk
mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai
atau dikasihi.
Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang
romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan
coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my
valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta-pesta yang
diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak
menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat
yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu).
Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai
sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa,
mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan
serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.
Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan
Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan
parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa
ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian
mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada
penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih
tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq,
Bangsar.
Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang
ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’ Di samping itu, didapati mereka
sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan
bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut
bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej
istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam
Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari
Kekasih.
Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud
di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan? Dari
sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa
Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu
Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud;
kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The
Etemology and History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang
paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu
Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di
Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu
Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14
Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan
kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine.
Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari
Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan
14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewidewi
Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu
perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut,
nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas.
Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih
akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine
dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh
Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan
semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam
peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah
mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia.
Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang
akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14
Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol
ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka
14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai
upacara keagamaan.
Manakala pendapat ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama
seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu
Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di
tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat
untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu
kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan
rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang
tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi
sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil
keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka
Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan
14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan
keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk
kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih
menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.
Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian
Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topik
Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di
bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of
the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St
Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a
secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan
kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian,
St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali
dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa
walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka
adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different
Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologies
under date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga
orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya
disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.
Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan
pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan
di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang
Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada
hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum
dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’.
Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis
semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja
meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari
berhampiran rumah gereja.
Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja
Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut,
seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s
Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park,
Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St.
Valentine Church di Buffalo, New York.
Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah
sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini
sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya
meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang
melibatkan aqidah Islam.
Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai
identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu
penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta
tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan
umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan
akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain.
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.;
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu
menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan
beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu
beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi
aku agamaku.”
(al-Kafirun ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat
lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman,
hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri
bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal
melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan
Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.;
 

 
   
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada
amalan kami maka ia akan ditolak.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan
menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan
dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang
bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa
amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan
amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah
bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari
Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan